Sebelum anda
pergi ke temuduga, anda perlu tahu beberapa jenis temuduga kerja. Pastinya anda
tertanya-tanya apakah jenis temuduga yang bakal anda hadapi supaya anda dapat
membuat persediaan awal. Jangan takut untuk bertanya kepada pihak pengendali
kerjaya, kerana mereka berkhidmat dengan baik untuk anda dan pihak bakal
majikan.
1. Temuduga
tradisional. Temuduga ini diadakan secara bersemuka antara anda dengan bakal
majikan di mana anda akan bertemu dengan seorang wakil dari syarikat yang
dipohon. Oleh sebab anda akan bekerja dengan individu yang bakal membantu anda
mendapatkan kerja tersebut, beliau akan mendapatkan maklumat seperti kemahiran
anda untuk disesuaikan dengan kriteria kerja yang diperlukan.
Anda akan
disoal dengan perkara-perkara seperti pengalaman kerja berpandukan resume yang
dihantar, apa yang boleh anda sumbangkan kepada syarikat atau posisi yang
ditawarkan. Sebahagian besar penemuduga akan bertanya “Mengapa anda begitu
berminat dengan jawatan ini?” atau “Beritahu saya tentang diri anda”.
2. Temuduga
sikap. Dalam temuduga sikap, penemuduga akan bertanyakan soalan berdasarkan
situasi kerja yang anda pohon. Logik di sebalik temuduga sikap ini adalah untuk
menilai prestasi anda menerusi pengalaman lepas menggunakan situasi yang sama.
Anda perlu boleh menduga soalan yang bakal ditanya apabila berkaitan dengan
pengalaman kerja yang lepas dan bagaimana anda menghadapinya. Penemuduga akan melihat bagaimana anda
mengendalikan situasi yang diberikan dengan permasalahan yang perlu
diselesaikan.
3. Temuduga
berkumpulan. Banyak syarikat yang mengendalikan temuduga dalam bentuk
berkumpulan untuk membuat penilaian pantas terhadap peserta yang bakal diambil
bekerja. Ini bakal memberi peluang kepada semua calon belajar dengan pantas
mengenai syarikat bakal majikan mereka. Biasanya panel temuduga akan membuat
penerangan ringkas mengenai syarikat mereka. Kemudian, mereka akan berbual
dengan calon secara individu dan bertanyakan beberapa soalan.
Salah satu
perkara penting yang bakal majikan perhatikan semasa temuduga berkumpulan ini
dijalankan ialah bagaimana anda berhubung dengan sesama calon temuduga, sama
ada anda bertindak sebagai pemimpin atau anda hanya lebih gemar menyelesaikan
tugas yang diberikan. Ianya bergantung kepada jenis personaliti anda untuk
memenuhi posisi kerja yang ditawarkan.
4. Temuduga
makan tengahari. Kebiasaannya temuduga ini merupakan temuduga kedua selepas
anda melepasi tapisan temuduga yang pertama. Syarikat akan menjemput anda untuk
makan tengahari bersama dengan beberapa orang rakan kongsi untuk mengenali anda
dan bagaimana anda boleh menyesuaikan diri dengan mereka. Ini adalah masa yang
terbaik untuk anda bertanyakan soalan yang anda mahu tahu berkaitan dengan
syarikat atau posisi anda di syarikat tersebut. Jadi sediakan soalan anda lebih awal sebelum bertemu dengan mereka.
Meskipun ada
dihidangkan dengan makanan, temuduga tersebut tidaklah berkaitan dengannya.
Usah memesan makanan yang mahal atau sukar untuk dimakan. Anda tidak perlu
menawarkan diri untuk belanja mereka, ia bukanlah perkara yang diharapkan
kepada bakal pekerja baru untuk berbuat demikian. Kunyah makanan perlahan-lahan
dan makan dengan suapan yang kecil supaya anda mudah menjawab soalan yang
dilontarkan semasa menikmati makanan. Sukar untuk menjawab jika mulut anda
penuh dengan makanan.
Kesimpulannya,
tidak kira apa pun jenis temuduga yang bakal anda hadapi, lakukan persediaan
yang sebaik mungkin supaya anda boleh menampilkan kehebatan diri anda untuk
merebut jawatan yang ditawarkan.

EmoticonEmoticon